Pendidikan Islam mempunyai dua
maksud. Pertama pendidikan Islam Umum dan kedua pendidikan Islam khusus
(Hasan Langgulug, 1995). Pendidikan Islam umum ialah pendidikan yang diberi
kepada orang Islam dalam semua keadaan, seperti di sekolah, di rumah, di kedai,
di hospital, di jalan dan lain-lain. Ia termasuk dalam semua hal, dalam
ekonomi, sosial, politik, teknik, pelajaran, permainan, sukan, pekerjaan dan
sebagainya. Pendidikan Islam khusus ialah mata pelajaran sekolah, iaitu
yang termasuk di dalamnya ilmu-ilmu seperti Tauhid, Fiqah, Tafsir, Hadis,
Akhlak dan sebagainaya. Jadi, bila disebut pendidikan Islam, ia tidak
semestinya bermaksud mata pelajaran agama di sekolah, malah ia bermaksud
lebih luas lagi, iaitu segala usaha untuk mendidik orang Islam menjadi muslim.
Dengan demikian, jelas kepada kita bahawa pendidikan Islam itu ialah satu usaha
mendidik insan muslim melalui nasihat, pengetahuan, ilmu, penghayatan, contoh,
sekolah, rumahtangga, masyarakat, alam sekitar dan lain-lain. Mata pelajaran
sekolah ialah Pengetahuan Agama Islam atau Agama atau Ilmu Agama, atau
Pengetahuan Islam. Pendidikan Islam sepatutnya terdapat dalam semua mata
pelajaran sekolah yang disampaikan oleh semua guru yang beragama Islam,
manakala ilmu Agama itu merupakan satu wadah dalam pendidikan.
Hasil
daripada kajian oleh Jawatankuasa Mengkaji Mata Pelajaran Agama Islam 1974 yang
dilaporkan melalui Jawatankuasa Kabinet 1979, mendapati pendidikan Islam tidak
berkesan atau kurang berkesan, kerana guru lebih mementingkan ilmu dan maklumat
untuk lulus peperiksaan sehingga tidak sempat hendak mendidik (Zainal Abidin
Abd. Kadir, 1994). Maka pada awal tahun 1980an ditukarkan nama Pengetahuan
Agama Islam kepada Pendidikan Islam dengan harapan agar tercapai hasrat
mendidik anak-anak orang Islam. Lanjutan daripada itu nama Kementerian
Pelajaran pun ditukar kepada Kementerian Pendidikan, Bahagian Latihan Guru
(BLG) ditukarkan kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Bahagian Pelajaran
Agama ditukar kepada Bahagian Pendidikan Islam, dan lain-lain.
Ini
merupakan satu langkah yang baik, tetapi, jika guru tidak faham konsep
pendidikan Islam dan tidak melaksanakannya seperti yang dihasratkan, apa yang
dilakukan hanya memberi maklumat sahaja, maka pendidikan Islam menjadi
tidak berkesan.
Sekolah merupakan institusi formal dalam proses memberi pendidikan Islam.
Pendidikan diberi berdasarkan disiplin ilmu. Disiplin ilmu lslam khusus
yang ada di sekolah ialah Aqidah, Ibadah, Akhlak, Sirah serta Tilawah Al-Quran
(Lihat sukatan pelajaran Pendidikan Islam menengah dan rendah, 1997).
Selain daripada itu, pendidikan Islam juga diberi secara tidak formal melalui
aktiviti kokurikulum sekolah. Seperti bekerjasama, budaya ilmu, solat
berjamaah, amanah, kebersihan, mengikut peraturan, makan beradab, tepat masa,
hormat guru, mengucap salam sesama Islam, ucapan selamat kepada yang bukan
Islam dan banyak lagi. Ini semua adalah
pendidikan Islam.
Matlamat akhirnya ialah melahirkan individu muslim yang faham Islam dan
faham ilmu-ilmu Islam, seterusnya menghayati ajaran Islam dalam hidupnya dengan
bahagia, berkeluarga, bermasyarakat, bertamadun, serta mendapat kesejahteraan
selepas matinya.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman sahabat tiak terdapat disiplin ilmu seperti
di atas. Yang ada pada masa itu ialah Al-Quran dan Sunnah Rasul
s.a.w. Semua itu sumber ilmu Islam, dan tidak pun disebut sebagai ilmu
Tauhid, Feqah dan sebagainya. Apabila membincangkan konsep ketuhanan,
tentang kepercayaan kepada Allah dan hari Akhirat, maka itu Tauhid-lah
namanya. Apabila membaca ayat Al-Quran atau hadis Nabi s.a.w. yang
menceritakankan tentang hal ibadat zahir, maka dari segi ilmu, Feqah-lah
namanya. Demikianlah dengan yang lain.
Selepas zaman sahabat, dan setelah ramai orang yang bukan Arab memeluk agama
Islam, maka ulama mula merumuskan isi Al-Quran dan hadis dalam bentuk matan seperti
yang ada sekarang. Kitab hadis Imam
Malik, Al-Muwatta, disusun mengikut tertib ilmu Feqah, iaitu
bermula dengan hukum bersuci, solat dan seterusnya. Beliau
adalah golongan Tabi’in (golongan selepas
sahabat). Hingga ke hari ini, kebanyakan negara Islam
mempelajari Islam dalam bentuk ini. Mana-mana kitab Feqah kita dapati
sekarang disusun fihrisnya mengikut susunan ini
Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim. Ini adalah
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.
طلب العلم فريضة على كل مسلم
Maksudnya:
“Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam”
Riwayat Ibnul Abdil Barr.
Timbul persoalan; apakah ilmu yang wajib dituntut? Adakah ilmu agama sahaja atau ilmu-ilmu lain?
Dalam perbincangan ulama, Al-Ghazali (1988) menyebutkan bahawa kerana
adanya Alif Lam pada perkataan itu ( العلم ) maka ia
menjadi ma’rifah. Jadi ilmu yang wajib dituntut itu ialah
ilmu agama sahaja. Ilmu lain tidak sampai ke martabat wajib. Walau
pun demikian, Al-Ghazali (1975) membahagikan wajib itu kepada dua jenis, iaitu
Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain ialah segala macam ilmu
untuk mengenal Allah, mengetahui sifat-sifat Allah, mengetahui perkara ghaib,
mengetahui cara beribadat, halal dan haram, mengetahui ilmu yang berkaitan
dengan menjaga hati dan amalan hati, seperti sabar, ikhlas, hasad, ujub,
takabur dan sebagainya. Di sinilah lahir istilah-istilah ilmu
Tauhid, Feqah dan Tasawuf. Di tampat yang lain Al-Ghazali (1988)
mengistilahkan dengan ilmu Mu’amalah dan ilmu Mukasyafah.
Semua ini dipanggil Ilmu Syara’.
Ilmu Fardhu Kifayah ialah ilmu yang perlu diketahui untuk keperluan dan
keselesaan hidup di dunia. Tanpanya manusia menempuh kesusahan dan tidak
dapat menyempurnakan tuntutan Fardhu Ain. Contohnya seperti ilmu
perubatan, kejuruteraan, perindusterian, matematik, ekonomi, politik dan
lain-lain.
Maksud Fardhu Kifayah ialah cukup jika ada seorang daripada satu kumpulan orang
Islam yang belajar ilmu itu dan semua orang dalam kumpulan itu terlepas
daripada dosa. Sebaliknya jika tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu
yang mengetahui ilmu ini, maka semua orang dalam kumpulan itu berdosa
(Al-Ghazali, 1988).
Perlu dijelaskan iaitu, yang dikatakan Fardhu Kifayah ialah tuntutan untuk
menuntut sesuatu ilmu itu, tetapi apabila telah menceburi di dalamnya ia
menjadi Fardhu Ain. Bandingannya ialah seperti solat. Mendirikan
solat sunat hukumnya sunat, tetapi apabila mengerjakannya maka wajib
mengerjakan semua rukunnya dengan sempurna.
Dalam sistem pendidikan negara ini telah diajar kedua-dua jenis ilmu ini;
Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Tetapi kefahaman tentang konsepnya masih
kabur. Pelajaran agama yang diajarkan dalam sekolah itu dikatakan Fardhu
Ain, pelajaran lain dikatakan Fardhu Kifayah. Pada hemat penulis, pelajaran
agama yang dipelajari di sekolah itu belum lagi sempurna Fardhu Ain, malah ia
merupakan asas Fardhu Ain. Sebab itu Kementerian Pendidikan menamakan
salah satu programnya bagi pelajar-pelajar Tahun 6, Tingkatan 3 dan Tingkatan 5
dengan Penilaian Asas Fardhu Ain. Maknanya, yang dipelajari itu baru asas
Fardhu Ain, belum lagi Fardhu Ain yang sebenarnya. (Lihat
Buku Panduan Penilain Asas Fardhu Ain (PAFA) oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia, 1994).
Menurut Al-Ghazali (1988), ilmu Fardhu Ain itu ialah ilmu yang wajib diketahui
oleh setiap muslim semasa ia hendak melakukan sesuatu yang wajib. Sesuatu
yang wajib itu janganlah disempitkan kepada solat, puasa dan haji sahaja, malah
banyak lagi perkara wajib yang kita lakukan setiap hari.
Contohnya, membaca Al-Quran itu hukumnya sunat, tetapi bila membaca wajib betul
sebutan makhraj dan sifat huruf serta barisnya. Untuk dapat menyebut dengan
betul, wajib belajar kepada gurunya yang muktabar, maka timbullah di sini ilmu Tajwid.
Dengan itu bermakna, belajar ilmu Tajwid itu wajib apabila hendak membaca
Al-Quran.
Berniaga adalah sunnah Rasul s.a.w., bekerja sebagai penaiaga ialah mencari
nafkah, mencari nafkah adalah wajib hukumnya. Hendak berniaga wajib ada
ilmu. Jadi, pada masa itu ia wajib belajar ilmu perniagaan. Ilmu
perniagaan di sini bukan bermaksud ilmu tentang untung rugi, ekonomi, simpan
kira dan sebagainya, sebaliknya ia bermaksud ilmu syariat. Iaitu
ilmu yang membicarakan tentang apa jenis benda yang boleh diperniagankan dan
apa yang tidak boleh, apakah perniagaan itu ada unsur riba atau tidak, dan
banyak lagi perkara yang berkaitan yang perlu di ketahui.
Menjadi pentadbir, ahli politik, doktor, pegawai, jurutera, guru dan
sebagainya, bukan wajib. Asalnya Fardhu Kifayah, tetapi apabila telah
mencebur diri di dalamnya ia menjadi Fardhu Ain. Kerana bekerja itu Fardhu Ain,
sebab mencari nafkah. Semasa menjalankan tugas wajib menjalankannya dengan
betul, jika tidak betul ia berdosa dan pendapatannya haram, untuk mengetahui
betul atau tidak perlu ada ilmu, untuk mendapat ilmu kena belajar. Jadi
belajar itu Fardhu Ain, kerana hendak beramal, yakni bekerja mengikut syariat
Islam. Dan ilmu yang
dipelajari pada masa itu ialah ilmu Fardhu Ain.
Belajar
di sini ialah untuk mengetahui apa perkara yang mesti dibuat semasa kita
bekerja dan apa pula perkara yang tidak boleh dilakukan, iaitu yang
dilarang oleh syariat. Inilah yang dikatakan ilmu Fardhu Ain, iaitu ilmu
yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam apabila ia hendak melakukan
sesuatu perkara yang wajib.
Semua ilmu ini (Fardhu Ain, Fardhu Kifayah dan
Tahsiniyat) termasuk dalam bidang pendidikan Islam. Iaitu mendidik setiap
muslim, sama ada guru, kerani, polis, askar, pentadbir, jurutera, pegawai,
petani, peniaga, pemimpin dan bermacam-macam jenis pekerjaan lagi, supaya
menjadi seorang muslim yang beriman dan beramal, dan terdidik dengan pendidikan
Islam. Ia faham Islam, faham tuntutan Islam dan menghayatinya. Ia
faham tentang amanah yang diberikan kepadanya dan melaksanakannya dengan penuh
tanggungjawab. Dan ia juga faham dan sedar bahawa setiap perbuatannya
akan dibicarakan di hadapan Allah nanti di hari Kiamat.
Inilah maksud pendidikan Islam seperti yang disebutkan oleh Al-attas (1979) dan
Burlian Somad (1981). Persoalannya ialah, apakah pendidikan Islam dalam
sistem pendidikan hari ini menuju ke arah itu? Atau pun masyarakat,
termasuk golongan guru, masih kabur terhadap konsep dan kefahaman ini?
Masyarakat guru, samada guru Agama atau bukan guru Agama, harus faham dengan
sejelas-jelasnya konsep pendidikan Islam. Jika betul-betul diamati dan
difahami kita yakin bahawa semua guru yang beragama Islam ialah guru pendidikan
Islam. Pekerja dalam kawasan sekolah, kerani dan pengendali kantin juga
pendidik Islam. Mereka sama-sama bertanggungjawab untuk mendidik murid atau
pelajar yang beragama Islam di sekolah menjadi orang Islam. Seluruh orang dalam
masyarakat, di rumah, di kedai, di dewan, di tempat kerja dan lain-lain adalah
agen-agen pendidikan Islam dan bersama-sama bertanggungjawab dalam
pendidikan Islam, dalam erti kata menghidupkan iklim Islami, atau penghayatan
Islam. Maksudnya, jika ada sesuatu amalan atau pelakuan orang Islam yang
terang menyalahi ajaran Islam, maka wajib membetulkannya dan menasihat.
Jika tidak dilakukan kita adalah bersalah dengan Allah Taala. Manakala
guru Agama bertanggungjawab memberi ilmu Agama, kerana merka dipercayai
mempunyai ilmu Islam yang mencukupi untuk tujuan pengajaran dan diberi tauliah
untuk tujuan tersebut, dan dalam masa yang sama mereka juga mendidik.
Jika
ini dapat difahami dengan saksama dan dijalankan dengan baik dan
teratuar, pendidikan akan dapat berjalan dengan cukup berkesan di sekolah dan
dalam masyarakat. Lanjutan daripada
itu banyak masalah disiplin di sekolah dan dalam masyarakat dapat dikurangkan,
kalau pun tidak dapat dihapuskan kesemuanya.
Dengan cara inilah diharapkan matlamat pendidikan Islam akan tercapai dan
masyarakat Islam akan maju seperti yang pernah berlaku pada kurun pertama dan
kedua hijrah duhulu.
0 comments:
Catat Ulasan