1. IKHLAS NIAT
Kewajipan ke
atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana
Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah
S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat
di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia
semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah
untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita
yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita
terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan
kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan
yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan
dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita
sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana
rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke
langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut
ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud
firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa
Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan
ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa
setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang
berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal
akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL
2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL
Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa
menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu
dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau
buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama yang
berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati
kita kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah
akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof
yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya
:"Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa
aku ini adalah utusan Allah kepadamu?". Maka tatkala mereka buat endah tak
endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi
petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa
tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil
iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan
suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang
dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh
menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita
hendaklah mencontohi ulama'-ulama' silam yang mana mereka belajar dalam keadaan
susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar
bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan
bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah
agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan
mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus
asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.
3. MENJAUHI MAKSIAT
3. MENJAUHI MAKSIAT
Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam
diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu
adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita
sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin
di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke
arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di
hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap
perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang
lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil
seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta
pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara
yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya
dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja
sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa
besar.
4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH
4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH
Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan
cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah
kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui
perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan
kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri
majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama
memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan
menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya
kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping
menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta
menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada
mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan
cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang
bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh
kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W
pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi
dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah
seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.
5. BANYAKKAN ZIKRULLAH
5. BANYAKKAN ZIKRULLAH
Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan
mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi
begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan
hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri
dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh
menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan
perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul
‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia
akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran
sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat.
Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian
kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan
diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.
6. MENJAGA KEHORMATAN
6. MENJAGA KEHORMATAN
Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain.
Tutup segala ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan
Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya
dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan
kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada
rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan
derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang
dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12
surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah
kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu
adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula
sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada
kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu
merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA
7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA
Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita
dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam.
Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya
serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah
sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita.
Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap
kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan
Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan
hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika
salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka
dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya
dengan perkataan "uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan
ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap
mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai Tuhanku!
kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa
kecil".
8. MENGHORMATI GURU
8. MENGHORMATI GURU
Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi
mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah
atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi'e
walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena sujud
sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan
solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya.
Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan
masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan
perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan
akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah,
universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap
bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati
walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua
keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan
penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang
wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam
kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan
mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana
harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.
9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI
9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI
Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari
setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita
bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke
dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang
dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah
juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta
jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil
dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk
mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan
oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan
dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam
terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis
tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa
yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai
perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal
selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar
untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang
bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama
menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud
:Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak
kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan
apa yang tidak kamu kotakan.
0 comments:
Catat Ulasan