Bukan negara kita masyarakatnya majmuk ? melaksanakan hukuman hudud
akan menjadikan negara kita huru - hara dan rakyat dalam keadaan
ketakutan. Bolehkah hukuman tersebut dilaksanakan dalam dunia moden ini ?
22. Buat kesekian kalinya ingin saya tegaskan bahawa hukum Hudud ialah
hukum Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia dengan segala
kemajmukannya. Majmuknya manusia di atas muka bumi ini bukan berlaku
secara secara silap mata atau magik sihir, tetapi ia adalah hasil
ciptaan Allah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijak. Sehingga hari
ini, tiada siapa yang berani menafikan fakta bahawa Allah yang mencipta
manusia samada manusia itu berkulit putih atau berkulit hitam. Samada
manusia itu berbangsa Arab atau bukan Arab seperti Melayu, Cina dan
India. Lihat pengakuan Allah swt yang tidak pernah dinafi oleh sesiapa
di dalam surah al Hujurat ayat 13 :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ
إِنَّا خَلَقْنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَٰكُمْ شُعُوبًا
وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ
أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
"Maksudnya : Wahai
manusia, sesungguhnya kami telah menjadikan kamu terdiri dari lelaki
dan perempuan dan kami telah jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan
puak supaya saling kenal - mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia
dari kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguh
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya."
23. Apabila Allah yang mencipta manusia dan ianya tidak boleh dinafikan
oleh sesiapa, maka kenapa kita tidak pula boleh menerima hukum yang
juga dicipta oleh Allah swt untuk mendisiplinkan kehidupan manusia [
makhluk yang diciptaNya ] di atas muka bumi. Siapa lagi yang lebih
mengetahui tentang selok belok kehidupan manusia secara zahir dan
batinnya jika tidak penciptanya sendiri iaitu Allah Jalla wa A'la.
Pertanyaan Allah swt sehingga hari ini, tiada siapa yang mampu
menjawabnya, apa lagi menandinginya sebagaimana yang termaktub di dalam
surah al Baqarah ayat 138 :
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
"(Katakanlah
wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati
dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami
dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada
Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat"."
24. Analogi yang boleh saya ketengahkan di sini ialah seperti Syarikat
Proton yang mencipta dan mengeluarkan kereta berjenama Inspira.
Tentunya Syarikat Proton akan mengeluarkan buku manual operasi yang
akan disertakan bersama dengan produknya. Pengguna mesti menggunakan
Inspira berasaskan buku manual yang telah dikeluarkan oleh syarikat
pengeluar justeru syarikat itulah yang lebih mengetahui bagaimana cara
dan kaedah menjaga dan mengguna produk mereka dengan baik dan
meminimakan kadar kerosakkan. Pengguna Inspira tidak boleh menggunakan
buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat Mitsubishi untuk produk
mereka yang berjenama Pajero 4x4.
25. Begitulah manusia yang
merupakan produk ciptaan Allah swt. Allah swt telah mengeluarkan buku
manual iaitu al Quranul Kareem yang disertakan dengan hasil produknya
demi memastikan kehidupan manusia di dunia ini terurus berdasarkan
manhaj Rabbani atau dengan bahasa yang lebih mudah agar cara dan gaya
hidup manusia dipandu oleh petunjuk Allah swt lalu menyelamatkan mereka
dari menjadi mangsa godaan nafsu dan bisikan syaithan yang dilaknat
oleh Allah swt.
26. Setelah kita yakin bahawa hukum Hudud ini
dari Allah swt., bagaimana masih tersangkar prasangka bahawa hukum ini
akan mencetuskan huru - hara ? berlaku huru - hara bukan kerana
perlaksanaan hukum Allah swt ini, tetapi kerana manusia menolak hukum
tersebut. Mudah difahami apabila kita melihat realiti masyarakat kita
hari ini. Huru - hara yang dimaksudkan telah pun berlaku sedang hukum
Allah belum dilaksanakan dalam negara kita .
27. Ayah rogol
anak, cucu perkosa nenek, anak menengking ibu yang sedang solat,
gengster [ along ] berleluasa, jenayah bunuh berlaku setiap hari,
penderaan terhadap kanak - kanak, buang bayi, isteri derhaka kepada
suami, suami menyeksa isteri, pemimpin menzalimi rakyat, yang kaya
menindas yang miskin, yang lemah tidak terbela, pergaulan bebas,
pelacuran, pengedaran dadah dan 1001 mungkar bersarang dalam negara
kita. Bukankah ini huru - hara yang berlaku tanpa kawal. Kenapa salahkan
hukum Hudud sedang hukum itu belum dilaksanakan lagi ?
28.
Orang beriman tentunya yakin bahawa hukum Allah inilah yang akan
mengembalikan semula keamanan dan keadilan. Justeru hukum Allah swt
tidak semata - mata berorientasikan hukuman semata - mata tetapi juga
merupakan sistem cegah dan kawal dari Allah swt. Perkara ini telah
diserlahkan melalui firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 38
:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan
orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka
(hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa
yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu sistem cegah kawal
dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
29. Tiada siapa yang perlu takut dan bimbang kepada hukum Hudud kecuali
penjenayah. Hukum Hudud adalah undang - undang Jenayah syariat Islam.
Hukuman ini hanya akan dijatuhkan ke atas penjenayah setelah sabit kes.
Justeru itu, tiada siapa yang perlu rasa takut terhadap hukuman Hudud
kerana hukuman tersebut sekali - kali tidak akan dijatuhkan ke atas
mereka yang tidak bersalah atau dalam erti kata lain, tidak melakukan
perbuatan jenayah seperti bunuh, mencuri, zina, menuduh orang lain yang
baik berzina tanpa saksi, merompak dan minum arak. "Berani kerana benar
dan takut kerana salah" adalah bidalan para bijak pandai yang masih
terpakai hingga ke hari ini.
30. Non muslim juga tidak perlu
takut terhadap perlaksanaan hukum Hudud justeru Hudud adalah hukum yang
wajib terpakai ke atas ummat Islam sahaja sementara non muslim diberi
peluang memilih. Jika mereka bersedia dengan rela mahu menerima pakai
hukum Allah , maka dibenarkan sementara mereka enggan maka dipulangkan
mereka kepada hukum agama mereka jika agama mereka menyediakan bentuk
hukuman tertentu di atas kesalahan yang dilakukan atau jika tiada,
berlandaskan konteks negara kita, kembali kepada undang - undang
konvensional yang ada pada hari ini. Keputusan memberi hak memilih
kepada non muslim ini adalah dari ketetapan Allah swt yang tidak boleh
persoal oleh manusia. Firman Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat
42 :
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن
جَاءُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ
عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم
بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Mereka
sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala
yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang
kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau
berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu
sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil."
31. Melalui perbahasan ayat ini di dalam
kitab Tafseer al Baghawi menjelaskan pandangan para mufassirin seperti
an Nakhaei, asy Sya'bi, Atha' dan Qatadah rhm mengatakan bahawa hakim
diberi hak memilih samaada pesalah non muslim dari kalangan ahlul
zimmah dijatuhkan hukuman melalui hukum Hudud ataupun dirujuk kepada
hukum yang disediakan oleh agama mereka.
32. Sementara
sebahagian ulama' seperti Mujahid dan Ikrimah rhm menganggap ayat ini
telah dinasakhkan dengan ayat و ان حكم بينهم بما انزل الله lalu
mereka menegaskan bahawa ahlul zimmah tertakluk jua kepada hukum Allah
swt ini.
0 comments:
Catat Ulasan