Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan
umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang
telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah
hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w.
adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya
dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada
setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan
baginda." (Hadis riwayat Bukhari)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari
rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara
mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan
limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah
Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya." (Hadis riwayat Abi
Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang
diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah
terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri
keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang
betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin
menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak
akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang
banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah
hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai
keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang
tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan
al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus
dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a.
lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral
sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi
peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang
unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan
al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang
merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai
panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul:
"Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu
perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran
sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang
bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta
huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka
ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka
Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam
kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam
keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila
alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya
maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar
as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan
AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong
dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan
yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para
pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui
al-Quran itu sendiri.
|
Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan