Muqaddimah.
1. Hudud adalah hukuman atau pembalasan ke atas penjenayah
sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah swt akan bentuk dan jumlah
hukumannya dengan nas yang jelas di dalam al quranil karim. Justeru
sebagai manusia yang beriman kepada Allah swt dan kitabNya, kita tidak
mempunyai pilihan melainkan dengar dan taat terhadap apa yang telah
ditetapkan oleh Allah swt.
Ingatlah penegasan wahyu Allah swt kepada kita semua melalui surah al Ahzab ayat ke 36 :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ
وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن
يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
maksudnya :
"dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau
perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan
sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa
yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang
mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan
suatu kesesatan yang nyata."
2. Hudud bukan sekadar hukum Allah swt yang telah ditetapkan secara
tekstual di dalam al Quran dan kemudiannya dibuku dan dibekukan, tetapi
ia suatu ketetapan yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan ummat manusia
sebagai proses keadilan untuk mengurus dan mengatur kehidupan ummah
dari Tuhan pencipta manusia. Lihat ketetapan Allah swt di dalam surah al
Maaidah, ayat 49 :
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ
أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ
اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن
يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ
لَفَاسِقُونَ
maksudnya :
"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak
memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt
kepada kamu."
3. Hudud adalah ketetapan syara' yang tidak boleh dipinda atau
diubahsuai apalagi dibuang atau diketepikan. Tiada siapa yang memiliki
authoriti untuk meminda ketetapan Allah swt hatta Rasul saw sekalipun.
Firman Allah swt di dalam surah al Baqarah, ayat 229.
تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
maksudnya :
"demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu melampauinya
dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka mereka adalah
orang - orang yg zalim"
4. Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip keadilan dan
hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan
hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak
sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya adalah
perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah
memperkecil dan mendustakan Allah swt. Allah tegaskan akibat perbuatan
mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا
كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا
لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat
keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap
kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang
lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana."
Insafi juga penegasan Allah swt di dalam surah al A'araf ayat 40 - 41.
إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا
تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ
حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي
الْمُجْرِمِينَ
"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah dan
ketetapan) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada
mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu
langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di
dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang
melakukan jenayah."
5. Hudud memberi keadilan dan mengembalikan kehidupan yang sejahtera
dan aman. Tidak perlu takut dan cuak kepada hukum Hudud ini kecuali satu
golongan sahaja iaitu penjenayah justeru hukum Hudud adalah hukum yang
dijatuhkan keatas penjenayah yang telah sabit kes. Non muslim juga tidak
perlu takut dan bimbang terhadap hukum Hudud. Mereka tidak dipaksa
untuk menerima hukum Hudud jika mereka tidak mahu berhukum dengan
hukuman Hudud bahkan mereka kekal di bawah perlaksanaan hukum sedia ada.
Firman Allah swt. di dalam surah al Maaidah ayat 42 :
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِن جَاءُوكَ فَاحْكُم
بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن
يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُم بِالْقِسْطِ إِنَّ
اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
"Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka
memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka
datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau
berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu
sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan